Islam
 adalah satu cara hidup yang lengkap dan sempurna(ad-Din). Ia 
menyediakan peraturan dan garis panduan untuk manusia dalam segala aspek
 ehidupan manusia termasuk bidang perniagaan.  `Tidak Kami abaikan sesuatu pun dalam Al-Kitab' 
Tujuan peraturan dan garis panduan
 ini adalah untuk memastikan kemaslahatan manusia dapat di pelihara dan 
segala unsur yang boleh merosakkan agama, jiwa, akal, keturunan dan 
harta dapat di halang. 
`Dan tidak kami utuskan kamu( wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat untuk seluruh alam'
Sudah semestinya agama serta 
peraturan dan garis panduan yang terkandung di dalam nya  yang dturunkan
 oleh Maha Pencipta kepada manusia adalah lebih baik daripada peraturan 
yang di sediakan oleh manusia itu sendiri yang mempunyai serba kelemahan
 `Manusia itu di ciptakan lemah'   Oleh itu tanggungjawab manusia 
di muka bumi adalah untuk menjalankan amanah menegakkan agama Allah SWT 
dan peraturan serta hukum-hukumnya termasuklah memanfaatkan segala 
sumber-sumber semulajadi dan lainya yang di cipta oleh Allah mengikut 
apa yang di tetapkan oleh Allah untuk kebaikannya dan makhlok lain 
kerana dia akan di pertanggungjawabkan di depan Allah SWT di hari 
pembalasan nanti.
Berdasarkan Al-Quran, Hadis dan 
sirah Rasulullah s.a.w jelas bahawa Islam menggalakkan perniagaan.  
Malah adalah suatu hakikat bahawa perkembangan dunia Melayu dan 
perniagaan Islam merupakan dua perkara yang tidak dapat di pisahkan. 
Sejarah bangsa Melayu telah mempamirkan satu hubungan yang begitu jelas 
antara keduanya. Malah tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa 
kejayaan bangsa Melayu  dalam bidang ekonomi dan perniagaan bermula 
dengan keberkesanan perlaksanaan sistem ekonomi Islam dalm bentuknya 
yang tersendiri pada awal abad 15 dengan tersebarnya agama Islam dan 
terbinanya Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka sebagaimana yang dapat di 
kaji dalam dokumen-dokumen sejarah seperti Tuhfat al-Nafis, 
Undang-Undang Melaka, Undang-Undang Pahang, Suma Oriental of Tome Pires,
 The Book of Duarte Barbosa, Rihlah Ibn Batuta, Undang-Undang Laut 
Melaka dsbnya.
Falsafah Umum
Falsafah umum perniagaan yang menjadi asas kehidupan Muslim.
	Falsafah ialah pegangan individu 
atau masyarakat mengenai ketuhanan, manusia, kebahagiaan dan 
persoalan-persoalan asas kehidupan. Falsafah ini akan menentukan sikap 
seseorang itu terhadap dirinya, orang lain dan kerjanya. Sikap ini akan 
memberikan kesan terhadap tindakan dan gelagatnya dalam mengendalikan 
kerjanya. 
FALSAFAH ISLAM ADALAH DIASASKAN OLEH TAUHID.
Definasi tauhid : secara umumnya ia bermaksud mengakui dan mempercayai keesaan Allah.
Kepercayaan dan keyakinan ini merangkumi perkara-perkara berikut:
- Adanya tuhan langit dan bumi.
 
- Ia pencipta keduanya dan segala yang ada diantara keduanya.
 
- Ia pemilik segala yang ada dialam ini.
 
- Pemberi rezki kepada setiap yang hidup.
 
- Pentadbir setiap perkara.
 
- Mengesakan Allah dengan ibadat.
 
- Taat sepenuhnya dan tunduk kepadanya serta tidak menyembah kecuali kepada dia sahaja.
 
- Melaksanakan perintahnya dalam segala aspek kehidupan.
 
KESAN TAUHID DALAM KEHIDUPAN MANUSIA(1)
A.	Memberikan Misi Yang Jelas Dalam Setiap Pekerjaan.
	Misi setiap muslim yang 
diserapkan dengan tauhid ialah untuk melaksanakan perintah Allah dalam 
setiap aspek kehidupannya - dalam kehidupan individu, berkeluarga, 
masyarakat dan bernegara. Dalam sistem ekonomi, politik dan sosial. 
	Dalam setiap aktiviti dan 
kegiatannya dia akan berusaha untuk melaksanakan apa yang dituntut oleh 
Islam. Apa yang dikehendaki oleh Allah itulah apa yang akan dibuat 
olehnya.
	Dengan cara ini manusia muslim akan memperolehi matlamat yang unggul iaitu `Al-Falah' iaitu kebahagiaan dunia dan akhirat.
	sekiranya ditanya `apakah misi 
organisasinya atau pekerjaanya'. Dia akan menjawab `sebagaimana yang 
dituntut oleh Islam'. Untuk tujuan ini, ilmu pengetahuan yang sesuai 
adalah diperlukan supaya dia tahu apa yang dituntut oleh Islam itu dalam
 pekerjaannya dan hidupnya.
B. 	Membebaskan Manusia.
	Dalam peperangan Qadisiyah 
apabila Rib'i b. `Amir berdiri dihadapan ketua perang Parsi, Rustam 
untuk menjelaskan matlamat kedatangan Islam, beliau menjawab:
	`.........Dan untuk membebaskan manusia daripada memperhambakan diri 
kepada manusia kepada memperhambakan diri kepada Allah, daripada 
kesempitan dunia kepada satu dunia yang lebih luas dan daripada 
penindasan agama lain kepada keadilan Islam'
__________________________
(1) Al-Qardawi Yusuf  "Pengertian Tauhid" terjemahan AbdulMajid Abdullah, Pustaka Salam, 1987.
	
Dengan tauhid kita dapat 
diselamatkan dari tunduk kepada manusia dan terkungkung dengan pendapat 
seseorang. Dengan ini jiwa manusia dan hidupnya bebas dari tunduk, 
merendah, menghina dan menyerah kepada yang lain dari Allah.
 
C.  	Membentuk Peribadi Yang Seimbang
	Peribadi yang seimbang atau `Balanced Personality' banyak disebut oleh `guru-guru pengurusan' barat  atau western `Management Gurus'
 termasuklah Stephen Covey. Secara teorinya ianya sesuatu yang boleh 
diperkatakan. Tetapi secara praktisnya, ianya hanya boleh dibentuk dalam
 satu masyarakat yang beragama.
	Masyarakat sekular tidak akan dapat melahirkan peribadi yang seimbang walaupun ianya disebut berulang-ulang kali.
	Peribadi seimbang yang dilahirkan
 melalui tauhid ialah seimbang dari aspek roh dan jasadnya, `akal dan 
nafsunya, ilmu duniawi dan akhirat, manusia yang inovatif dan kreatif, 
sabar dan tegas, mempunyai visi dan misi dalam kehidupannya serta cekap 
dan ikhlas dalam memberikan sumbangan yang positif kepada masyarakat dan
 bersifat proaktif dalam menangani permasalahan dalam kehidupannya, 
serta berjaya dalam hidup didunia dan persediaannya untuk akhirat. 
Seimbang juga bermaksud mampu melahirkan suasana yang baik samada 
dipejabat atau organisasinya dan dirumahtangganya. Semuanya dalam 
keadaan yang stabil dan harmoni.
D.  	Sumber Kebahagiaan Dan Ketenangan Jiwa
	Stephen Covey, salah seorang guru
 pengurusan terkenal telah menyebut satu masalah yang biasa kita dengar 
dikalangan `Top Executives' dan ahli perniagaan yang telah berjaya:
	`Everyone tells me i'm highly 
successful. I've worked and scraped and sacrificed, and i've made it to 
the top. But i'm not happy. Way down inside i have this empty feeling. 
It's like the song says,'is that all there is?
	most of the time, i just don't enjoy life.....(first things first)
	Sebenarnya dengan tauhid hati 
seseorang dapat dipenuhi dengan keamanan dan ketenangan. Ia telah 
menutup pintu ketakutan, takut tentang rezki, takut kepada ajal, takut 
kepada diri, takut kepada keluarga dan anak-anak, takut kepada manusia 
dan takut kepada mati.
Adapun seseorang mukmin yang mentauhidkan Allah, ianya tidak takut kepada sesuatu atau seseorang kecuali hanya kepada Allah.
Sebab itu ia sentiasa dalam keadaan bahagia dan tenang.
E.	Tauhid Asas Persaudaraan Dan Persamaan
	Persaudaraan dan persamaan tidak 
akan tercapai dalam kehidupan manusia, bila terdapat dikalangan manusia 
ada yang menjadi tuan kepada manusia lain. Tetapi bila semua manusia itu
 dikira sebagai hamba Allah maka ianya adalah sebagai punca dan asas 
persaudaraan dan persamaan diantara sesama manusia.
	Hatta dalam pekerjaan sekalipun 
semangat ini jelas kelihatan sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadis
 Rasulullah yang bermaksud:
	`Pekerja kamu adalah saudara kamu. Mereka yang bekerja dengan kamu telah dijadikan tunduk dibawah kamu oleh Allah.'
	Apabila kita percaya kepada Allah
 yang esa dan seterusnya mengabdikan diri seluruhnya kepada Allah maka 
akan lahir satu keadaan dimana mereka yang berbuat demikian akan 
bersaudara tidak ada perbezaan kaum dan tidak ada perbezaan warna kulit.
F. 	 Kesan Tauhid Terhadap Akhlak
	Kesan daripada perkara diatas 
akan lahir individu-individu yang berakhlak mulia dan amanah. Dia 
seorang yang konsisten dalam menjalankan tugasnya dengan cekap dan penuh
 tanggungjawab(akauntabiliti) kerana ikatannya hanyalah kepada Allah dan
 tidak pada orang lain. 
KONSEP MANUSIA
Dalam Islam manusia adalah gabungan ruh dan jasad. Oleh itu kedua-dua unsur ini haruslah dibangunkan dan dipertingkatkan.
Imam al-Ghazali telah menggariskan empat jalan untuk mencapai kebahagian iaitu:
	a. 	Memenuhi keperluan ruh
	b.	Memenuhi keperluan jasad
	c. 	Memenuhi keperluan luaran
	d. 	Memenuhi keperluan kepada petunjuk ilahi
Disamping itu manusia adalah `Khalifatullah fi Al-ardh'
 yang diberi amanah untuk membangunkan alam ini oleh Allah. Segala apa 
yang ada dibumi adalah milik Allah dan manusia diberikan hak sementara. 
Manusia akan disoal oleh Allah terhadap apa yang dibuat dengan harta 
yang diperolehinya. 
Oleh itu kriteria yang digunakan 
oleh manusia untuk membuat keputusan tidak hanya dibatasi oleh dunia ini
 sahaja tetapi juga merangkumi alam akhirat.
  
FALSAFAH PERNIAGAAN.
Falsafah perniagaan dalam 
perspektif barat adalah sebahagian daripada misi institusi perniagaan 
itu yang menggabungkan 3 aspek penting:
1.	Tujuan - kenapa institusi atau organisasi perniagaan itu wujud?
2. 	Strategi
3.	Nilai dan etika kerja - polisi 
dan etika yang memandu sesuatu perniagaan dalam operasinya.  Ia 
menjelaskan bagaimana seseorang pengurus perniagaan dan pekerja 
seharusnya bertindak.
TUJUAN
Secara umumnya tujuan atau `purpose'
 perniagaan dari perspektif barat ialah untuk mendapat keuntungan. 
Walaubagaimanapun matlamat  perniagaan telah malalui perubahan 
peradigma.  Bukan hanya untuk mendapatkan keuntungan tetapi juga untuk 
memenuhi tanggungjawab sosial. Perubahan ini adalah kesan daripada 
pengalaman masyarakat barat yang telah merasai kepahitan dari kualiti 
yang rendah dan keselamatan yang tidak terjamin apabila keuntungan 
sahaja yang menjadi tujuan perniagaan. Malah mereka menganggap 
tanggungjawab sosial sebagai satu cara untuk meningkatkan imej sesuatu 
organisasi perniagaan dalam sebuah masyarakat. Dengan cara ini dari 
sudut jangka panjang syarikat tersebut akan dapat meningkatkan 
permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan.
Ada berbagai-bagai tanggapan 
dikalangan ketua-ketua eksekutif atau pengurus-pemgurus syarikat dibarat
 mengenai tujuan atau falsafah perniagaan:
1.	Untuk kebajikan pemegang-pemegang saham syarikat.
										
- Untuk kebajikan pengguna
 
				
3.	Untuk kebajikan pemilik-pemilik syarikat(perkongsian)		
4.	Untuk kepentingan pemegang saham, pekerja, pengguna dan `suppliers'
5.	Untuk meningkatkan kualiti 
kehidupan bagi lelaki dan wanita yang bekerja( yang tidak menjejas alam 
sekitar, atau meningkatkan perkhidmatan pengguna, etc). Sesuatu yang 
melewati batas kepentingan diri keempat-keempat golongan tersebut. 
Sesuatu yang memberi `sense of mission' kepada syarikat tersebut.
STRATEGI
Ini menentukan logik perniagaan 
itu. Pihak pengurusan harus mengenalpasti suasana atau keadaan pasaran 
tempat ia akan bersaing. Ia harus juga menentukan apakah ciri kekuatan 
yang membolehkannya berada dalam keadaan yang selesa dan dominan. 
Umpamanya, strategi untuk mengeluarkan barangan yang berkualiti tinggi.
NILAI DAN ETIKA
Ini menjelaskan bahawa 
perkara-perkara dan aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh sese uab 
syarikat dan mereka yang mempunyai hubungan dengannya bukan sahaja baik 
dari sudut strategi untuk meningkatkan jualan tetapi ianya juga baik 
dalam ertikata yang sebenarnya. Hanya apabila seseorang pekerja itu 
mempunyai nilai peribadi yang selari dengan nilai organisasi atau 
syarikat yang dia bekerja, komitmen serta penglibatannya akan bertambah.
 Aspek yang perlu diberi penekanan,
	-	Kerjasama dan perundingan sebagai satu pasukan.
	- 	alam sekitar
	-	hubungan pihak pengurusan dan pekerja, pengguna dan sebagainya.   
	-	Kualiti barangan yang tidak memberikan kesan negatif kepada kesihatan.
Berdasarkan pandangan barat 
organisasi atau syarikat itu akan berjaya apabila perkara-perkara ini 
digabungkan iaitu,  apabila strategi, nilai dan etika digabungkan dengan
 satu tujuan yang unggul yang melewati batas kepuasan kumpulan-kumpulan 
tertentu.
BAGAIMANA DENGAN KEUNTUNGAN SEMATA-MATA
Sesebuah syarikat tidak akan hidup
 dengan hanya memikirkan keuntungan semata-mata dan mengenepikan 
aspek-aspek lain dari sudut jangka panjang. Dia dapat `Survivie' dari 
sudut jangka pendek. 
Tetapi apabila masyarakat dapat 
menilai kesan barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan serta 
perkhidmatan pengguna atau pembeli yang disediakan maka syarikat 
tersebut akan menerima kesan yang buruk.
Akhirnya jualan dan keuntungannya 
akan mulai menurun kerana tidak kompetitif dari sudut kualiti dan 
perkhidmatan(bagaimana kita melayani pembeli etc., mengakui kesilapan, 
senyuman menghadapi pembeli yang rumit, etc).
FALSAFAH PERNIAGAAN ISLAM
Falsafah perniagaan Islam lahir 
daripada falsafah kehidupan yang telah ditentukan oleh Islam. Berbeza 
dengan barat dimana falsafah perniagaan mereka bertukar atau berubah 
berdasarkan pengalaman mereka.  
TUJUAN SYARIKAT ATAU PERUSAHAAN DIWUJUDKAN
Tujuan tidak boleh dipisahkan 
daripada falsafah Islam yang diasaskan oleh tauhid. Ia mencerminkan 
kesan tauhid dalam kehidupan manusia sebagaimana yang telah disebutkan.
MEMENUHI TANGGUNGJAWAB AGAMA  
Di antara tujuan perniagaan diwujudkan ialah memenuhi tuntutan agama.
A.	Ini Sesuai Dengan Tujuan Syari'at Diturunkan.
	Syari'at Islam diturunkan untuk memenuhi tahap dharuriyyah(keperluan asas) manusia
yang didefinasikan sebagai pemeliharaan 5 perkara asas untuk kehidupan manusia iaitu:
	1.	Agama
	2.	Nyawa
	3.	Akal
	4.	Keturunan
	5.	Harta
Masa'lih - segala yang memelihara salah satu atau kelima-lima atau daripada perkara ini.
Mafa'sid - segala yang boleh memberi kesan negatif keatas salah satu atau kelima-lima perkara ini.
Oleh itu Islam mengharamkan 
mafa'sid dalam kegiatan perniagaan kerana jelas ia boleh memberikan 
kesan yang negatif terhadap pencapaian dharuriyyah iaitu pemeliharaan 
kelima-lima perkara ini. Umpamanya, arak diharamkan oleh Islam.
1.	Kita boleh memahami rasionalnya
 dengan menganalisa kesan negatif arak terhadap agama, nyawa, akal, 
keturunan dan harta manusia.
2.	Apabila ianya boleh menjejas 
perkara-perkara ini ia akan merosakkan kehidupan bermasyarakat, menjejas
 ketahanan masyarakat dan nasib masa depan generasi akan datang. 
Perceraian, homoseksual, anak luar nikah, jenayah serta ketidakstabilan 
politik akan berleluasa.
3.	Apabila perkara yang mafa'sid 
ini ditegah dan tidak dibenarkan untuk diperniagakan atau di keluarkan 
maka akan lahir masyarakat yang sihat, berakhlak mulia, produktif dan 
berkualiti tinggi.
Oleh itu kegiatan perniagaan dalam
 Islam adalah satu ibadah yang sekiranya dilakukan dengan niat yang 
ikhlas serta bersesuaian dengan kehendak syari'at Islam akan mendapat 
keredhaan Allah.
    
Ini selari dengan satu kaedah fiqh yang berbunyi:
	Sesuatu itu wajib apabila yang wajib tidak dapat dilaksanakan tanpanya.
 
	Memenuhi tanggungjawab terhadap 
diri dan kehidupan sosial sesuai dengan kesan falsafah yang diasaskan 
oleh tauhid, tujuan kewujudan sesuatu syarikat ialah untuk memenuhi 
tanggungjawab berikut: (2)
- Keperluan diri secara sederhana
 
- Keperluan keluarga
 
- Keperluan masa depan. Membantu dalam menghadapi perkara-perkara yang datang tanpa diundang
 
- Keperluan anak-anak akan datang
 
- Perkhidmatan dan sumbangan
 sosial, termasuk berusaha untuk menegakkan agama Islam, membantu kearah
 pencapaian matlamat negara seperti membasmi kemiskinan, menyediakan 
pekerjaan, menstabilkan harga, keselamatan,dll.
 
 
B.  PEMBANGUNAN MENTAL, SPIRITUAL DAN JASMANI MANUSIA
Oleh itu jelas bahawa 
dalam Islam falsafah perniagaan ialah untuk membangunkan spiritual, 
mental dan jasmani manusia supaya manusia dapat melaksanakan tugasnya 
sebagai Khalifatullah fi Al-ardh' dengan sebaik mungkin.
_________________________
(2) Siddiqui, M.N , The Economic Enterprise in Islam, Islamic Publications Ltd, 1988.
Rasulullah S.A.W Bersabda:
	`Sesungguhnya kefakiran itu mendekatkan diri kepada kekufuran'
Rasululah S.A.W Bersabda:
	`Tidak salah harta ditangan orang yang bertakwa'
C.   HARTA SEBAGAI ALAT BUKAN MATLAMAT
Dalam Islam apa sahaja 
yang kita lakukan untuk mencari harta adalah dilihat sebagai alat untuk 
mencapai matlamat yang unggul iaitu untuk mentaati Allah dalam semua 
aspek kehidupan kita.
Sebagaimana yang disebut dalam al-Quran:
	
`tidakku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah aku'
(az-zariat, ayat 56)
Oleh itu termasuk diantara tujuan 
perniagaan ialah untuk usahawan mendapatkan keuntungan kerana itu 
merupakan hak yang diberikan kepada mereka kerana usaha dan risiko yang 
harus mereka tanggung.
D.   CONTOH DIZAMAN AWAL ISLAM
         
Kita akan dapati bahawa ramai 
sahabat-sahabat Rasulullah yang telah berjaya sebagai pedagang dan 
peniaga walaupun pada awalnya mereka menghadapi banyak kesukaran dan 
rintangan. Malah boleh dikatakan bahawa Rasulullah telah berjaya 
melahirkan satu masyarakat perdagangan yang tumbuh dengan cepat selepas 
penghijrahan baginda ke Madinah.
   
PERNIAGA DAN USAHAWAN DILAHIRKAN MELALUI MOTIVASI
Rasulullah sebagai ketua negara telah memberikan motivasi dan galakkan kepada rakyat negara Islam dalam hal perdagangan.
Rasulullah telah bersabda:
	`Didorang atas kamu ialah perniagaan kerana didalamnya ialah sembilan perspuluh daripada rezeki'.
Zubair Bin Awwam
Semasa
 hijrah Rasulullah ke Madinah Zubair telah pergi ke Syria untuk 
berniaga. Kemudian beliau mengikuti jejak Rasulullah ke Madinah dan 
meninggalkan segala hasil perniagaannya di Mekah.
Semasa beberapa tahun di Madinah 
Zubair hanya memperolehi pendapatan yang sedikit dari bidang pertanian. 
Dia terpaksa menghadapi banyak rintangan dan dugaan. Kemudian berkat 
kesabaran dan ketabahan beliau telah memulakan bidang perniagaan dan 
akhirnya menjadi orang yang kaya di Madinah.
Abdul Rahman Bin Auf
Beliau
 merupakan seorang pedagang yang cekap dan pandai berniaga. Beliau 
merupakan pedagang yang terkaya di Mekah. Apabila beliau memeluk Islam 
beliau telah meninggalkan segala hartanya di Mekah dan ikut berhijrah ke
 Madinah.
Sampai di Madinah beliau terus 
mencari pasar untuk berniaga dan mampu bersaing dengan golongan pedagang
 yang sudah lama berdagang disana dan kemudian menjadi kaya.
Othman Bin Affan
Beliau
 merupakan seorang sahabat yang mempunyai latar belakang pendidikan yang
 baik dan merupakan diantara sejumlah kecil yang mampu membaca dan 
menulis di Mekah. Apabila beliau dewasa beliau telah membabitkan diri 
dengan kegiatan perniagaan dan berjaya memperolehi keuntungan yang 
banyak.
Apabila beliau berhijrah ke 
Madinah beliau telah membantu umat Islam yang dalam kehausan dengan 
membeli sebuah telaga kepunyaan orang yahudi dengan harga 35,ooo dirham 
kerana orang yahudi tidak membenarkan orang Islam menggunakannya.
KEUNTUNGAN DAN ETIKA PERNIAGAAN
Sebagaimana yang disebut 
diatas bahawa keuntungan adalah sesuatu yang menjadi hak kepada 
seseorang usahawan dari pandangan Islam. Keuntungan yang diperolehi itu 
harus digunakan berdasarkan apa yang menjadi tujuan kewujudan sesuatu 
syarikat itu.
Sebagaimana yang disebut oleh Saidina Ali :
	`Adalah menjadi hak kepada 
pedagang untuk memperolehi keuntungan atas usaha mereka menyediakan 
barangan yang berguna kepada masyarakat'(warkah beliau kepada malik bin 
al-haris sewaktu perlantikan sebagai gabenor mesir)
Walaubagaimanapun keuntungan 
seharusnya diperolehi melalui usaha-usaha dan kegiatan yang tidak 
bercanggah dengan etika perniagaan yang ditetapkan oleh Islam.
APAKAH ITU ETIKA PERNIAGAAN
Etika ialah satu perkataan yang 
datang dari bahasa Greek `Ethos' yang memberi maksud `Code Of Human 
Conduct' atau peraturan yang membatasi gelagat manusia. Oleh itu apabila
 disebut etika perniagaan ia memberi erti peraturan-peraturan yang 
membatasi gelagat atau tindakan manusia dalam kegiatan perniagaan.
SUMBER ETIKA PERNIAGAAN
Etika perniagaan adalah diperolehi
 daripada dua sumber utama hukum Islam iaitu al-Qur'an dan as-Sunnah. 
Sabda Rasullulah "Aku tinggalkan kerana 2 perkara sekiranya kamu pegang 
kedua-duanya kamu tidak akan sesat selama-lamanya. Selain daripada itu 
ia juga dibincangkan oleh ulama'-ulama' dalam satu cabang daripada ilmu 
fiqh iaitu fiqh al-mu'amalat.
Secara umumnya adalah penting 
untuk kita memahami maqa'sid al-shari'ah atau tujuan shariah untuk 
menentukan bentuk dan kandungan kegiatan perniagaan kita (apa yang 
hendak dikeluarkan, bagaimana dan mengapa).
Dengan memahami etika perniagaan 
kita akan dapat memastikan perniagaan kita akan diredhai oleh Allah. 
Kita perlu menjawab soalan-soalan ini dengan berpandukan etika 
perniagaan Islam:
1.	Bolehkah perkhidmatan atau barangan ini dikeluarkan? Kalau tidak boleh kenapa?
2.	Kalau boleh, adakah kandungan 
barangan tersebut dibenarkan dari sudut halal atau haramnya, dan dari 
sudut kualiti agar ia tidak merosakkan kesihatan akal dan jasmani 
pengguna.
3.	Adakah cara pemasaran barangan dan perkhidmatan tersebut bertentangan dengan etika Islam?
4.	Adakah upah yang diberikan 
kepada pekerja kita berpatutan dengan kerja yang dibuat? Bagaimana 
dengan suasana pekrjaan, adakah sesuai untuk meningkatkan produktiviti 
dan kualiti?
5.	Adakah kerja memproses barangan dan perkhidmatan memberi kesan negatif kepada alam sekitar?
- Adakah pembiayaan kewangan bagi mengeluarkan barangan atau menyediakan 
 
	perkhidmatan tersebut sesuai dengan prinsip Islam?
ETIKA PERNIAGAAN ISLAM 'PRINSIP TIDAK MEMUDARATKAN' ATAU 'NO INJURY PRINCIPLE'
	Dalam menggariskan etika 
perniagaan, Islam menjadikan 'Prinsip Tidak Memudaratkan' atau 'No 
Injury Principle' sebagai asas penting. Prinsip ini merujuk kepada 
peraturan yang meggerakkan tindakan dan gelagat pimpinan serta pihak 
bawahan dalam hubungan sesama mereka dan yang memberi kesan di luar 
organisasi. Hubungan yang berasaskan prinsip 'tidak memudaratkan' ini 
menghalang atau mengurangkan sifat atau tindakan negatif terhadap orang 
lain, dengki mendengki, mementingkan diri sendiri atau tindakan yang 
boleh menyebabkan berlakunya ketidakadilan terhadap seseorang. Ia juga 
merjujk kepada kesan produk atau perkhidmatan terhadap pengguna dan alam
 sekitar. 
	Prinsip ini bersifat universal 
dan boleh dipraktikkan dalam semua aspek dan dimensi kehidpan manusia. 
Ia bukan sahaja melarang tindakan atau sikap yang memudaratkan orang 
lain tetapi juga memudaratkan diri sendiri. Apabila seseroang atau satu 
organisasi itu berusaha untuk tidak memudaratkan diri sendiri atau orang
 lain kehiudpan dan kegiatanya menjadi seimbang, keberkatan ilahi dan 
kecemerlangan dalam pencapaian matlamat perniagaan dapat di perolehi.
	Dalam konteks pengeluaran dan 
perkhidmatan pengamatan prinsip 'tidak memudaratkan' ini akan memastikan
 bahawa sesebuah oraganisasi perniagaan atau syarikat itu tidak terlibat
 dalam perkara-perkara yang memudaratkan perkembangan mental, emosi, 
spiritual dan fizikal masyarakat dan individu. Aspek pemeliharaan alam 
sekitar juga akan diberi penekanan yang sewajarnya. Pengguna akan dapat 
kualiti produk dan perkhidmatan yang dikehendaki.
	Rasulullah s.a.w bersabda:
 	"Tidak mudarat dan tidak memudaratkan"
	Ini bersesuaian  dengan tujuan 
Syariat Islam diturunkan untuk memelihara lima perkara asas iaitu agama,
 nyawa, akal, keturunan dan harta. Segala perkara yang memelihara 
mana-mana perkara asas ini digalakkan (masa'lih) dan segala yang boleh 
memberi kesan negatif kepada salah satu daripada kelima-lima ini 
dilarang (mafa'sid).
	Oleh itu Islam menekankan aspek 
kualiti dalam bentuknya yang menyeluruh. Prinsip 'tidak memudaratkan' 
akan meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan.
	Dalam aspek pengurusan organisasi
 korporat prinsip ini sekiranya diserapkan di semua pringkat organisasi 
akan menjadi faktor motivaasi yang mendorong anggota-anggotanya untuk 
terlibat secara bersungguh-sungguh dalam menignkatakan produktiviti dan 
kualiti. Peter Drucker dalam buku beliau 'Managemant: Tasks, Responsibilities, Practices' telah menekankan bahawa profesionalisme dalam perniagaan menuntut supaya dipraktikkan 'Principle of nonmaleficence' atau 'do no harm'.
 Atas prinsip ini beliau membuat kesimpulan bahawa terdapat ramai 
eksekutif yang tidak bertindak secara profesional dalam kegiatan 
perniagaan mereka.
	Pembentukan budaya korporat yang sihat akan terjejas sekiranya prinsip 'tidak memudaratkan' atau 'do no harm' tidak diamalkan.
Dalam menjalankan kegiatan 
perniagaan seseorang usahawan muslim itu seharusnya memastikan bahawa 
peraturan-peraturan berikut dipatuhi sesuai dengan prinsip tidak 
memudaratkan:
Niat Yang Betul
Seseorang usahawan muslim 
harus memastikan bahawa niatnya hanyalah untuk mencapai tujuan yang 
telah disebut diatas dan agar dia mendapat keredhaan Allah s.w.t. dalam 
segala aspek kehidupannya.
Sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah yang bermaksud:
	`sesungguhnya amal itu bermula dengan niat'
Al-Adl Wal Ihsan
Salah satu daripada etika penting dalam perniagaan ialah melaksanakan `Al-Adl Wal Ihsan' atau keadilan dan ihsan.
Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah dalam Al-Qur'an:
	`sesungguhnya Allah menyuruh 
melakukan keadilan dan berbuat kebajikan serta memberi karib kerabat, 
dan melarang berbuat yang keji dan yang mungkar dan kezaliman. Dia 
mengajarkan kepadamu agar kamu mendapat peringatan'(surah an-nahl, ayat 
90).
Ada beberapa etika penting yang dapat kita perolehi daripada ayat diatas:
	1.	Kita disuruh melakukan keadilan
	2.	Kita disuruh melakukan kebajikan
	3.	Kita disuruh memberi sadaqah
	4.	Kita dilarang membuat perkara yang keji dan mungkar
	5.	Kita dilarang membuat kezaliman
Oleh itu dalam kegiatan perniagaan
 kita harus melaksanakan keadilan, kebajikan, memberi sadaqah, serta 
tidak melakukan yang keji, mungkar atau menzalimi diri kita atau orang 
lain.
Keadilan Dalam Perniagaan
Keadilan bererti 
meletakkan sesuatu ditempatnya yang betul. Dalam konteks ini 
implikasinya ialah membuat tindakan atau keputusan sebagaimana yang 
dikehendaki oleh syari'at Islam. Ini 
Oleh itu keadilan dalam konteks perniagaan memberi implikasi berikut:
1.   Amanah Dan Benar Dalam Urusan Perniagaan
Tindakan dan keputusan yang 
berdasarkan sifat amanah dan kebenaran adalah perlu bagi memastikan 
urusan perniagaan itu adil dan setiap orang samada pembeli atau 
pengusaha mendapat haknya. Penipuan dan perpecahan akan dapat dielakkan 
sekiranya semua pihak bersifat amanah dan benar.
Dengan sifat ini usahawan akan 
mendapat untung yang sewajarnya dan pembeli akan mendapat barangan atau 
perkhidmatan yang sepadan dengan harga yang dibayar.
Rasulullah telah bersabda:
	`penipuan membawa kepada neraka'
Oleh itu sebarang bentuk penipuan adalah haram.
Pada suatu hari Rasulullah telah 
berjumpa dengan seorang penjual gandum. Baginda telah memasukkan 
tangannya kedalam dan mendapati gandum dibawah basah. Baginda telah 
menegur penjual itu kerana tidak meletakkan gandum yang basah itu diatas
 supaya pembeli dapat melihatnya.
Baginda kemudiannya telah bersabda:
	`barangsiapa yang menipu tidak termasuk dalam golongannya'
Baginda juga telah bersabda:
	`Pedagang yang benar akan dibangkitkan pada hari akhirat beserta orang-orang yang benar dan para syuhada'
Surah Al-Mutaffifin
Amatlah jelas sekali pandangan 
Islam terhadap etika perniagaan apabila kita mengkaji ayat-ayat alquran 
yang di turunkan sebagai pertunjuk kepada manusia. Selain daripada 
banyak ayat-ayat dalam alquran yang menggariskan prinsip-prinsip dan 
etika perniagaan terdapat satu surah dalam alquran yang di beri nama 
`almutaffifin' yang memerlukan satu penelitian yang mendalam.  
Almutaffifin Bermakna Orang Yang Curang.
`Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang(curang dalam menakar dan menimbang')
Iaitu orang-orang yang apabila menerima takaran dari orang lain mereka minta di penuhi
Dan apabila mereka menakar atau menimbang untuk orang lain mereka mengurangi
Tidakkah orang-orang itu yakin bahawa sesungguhnya mereka akan di bangkitkan
Pada suatu hari yang besar
Sekali-kali jangan curang, kerana sesungguhnya kitab orang yang durhaka tersimpan dalam sijjin
Dalam ayat 1-7 surah al mutaffifin, terdapat beberapa pengajaran:
- Allah menghina orang yang menipu atau menzalimi orang lain dalam perniagaan
 
- Definasi orang yang 
menipu dalam surah ini ialah orang yang apabila melibatkan haknya dia 
meminta semuanya mengikut tempoh yang di tetapkan tanpa tangguh, tetapi 
apabila ia berkaitan dengan hak orang lain dia memberi kurang daripada 
sepatutnya
 
- Allah mengaitkan perniagaan ini dengan akauntabiliti dan tanggungjawab kepada Allah swt di hari akhirat nanti
 
- Orang yang yakin pada hari akhirat dan pembalasan tidak AKAN MENIPU dan berlaku zalim dalam perniagaan
 
- Orang yang menipu dan zalim dalam perniagaan akan menerima siksaan yang berat daripada Allah swt di akhirat nanti.
 
MENYOROK BARANG DIHARAMKAN
Termasuk dalam sifat amanah dan benar ialah tidak menyorok barang. Dalam hadis Rasulullah:
	`sesiapa yang menyorok barang dia berdosa'.
Menyorok barang adalah berbahaya kepada masyarakat dan negara kerana ia menyebabkan:
1.	Kekurangan barang yang dikehendaki oleh masyarakat.
2.	Menyebabkan harga akan meningkat dan tekanan terhadap kadar inflasi.
KAEDAH PEMASARAN YANG BERETIKA
Adalah
 selari dengan konsep amanah dan benar dalam perniagaan bagi seseorang 
usahawan untuk memastikan usaha untuk memasarkan barangan atau 
perkhidmatan dibuat dengan betul dan tidak bercanggah dengan etika 
Islam.
Seseorang usahawan, umpamanya 
harus memastikan bahawa sebarang bentuk pengiklanan atau promosi 
benar-benar mencerminkan kualiti dan kandungan barangan atau 
perkhidmatan agar seseorang pembeli itu tidak merasakan bahawa ianya 
ditipu.
Setiap penjual mahukan barang yang
 dijual membawa keuntungan yang banyak dan berlipat ganda, maka ia akan 
berusaha sedaya upaya mempengaruhi pembeli supaya tertarik dengan barang
 yang dijual.
Kaedah pemasaran yang beretika 
dalam Islam juga menuntut agar menggunakan wanita dalam media cetak dan 
elektronik sebagai bahan pelaris atau untuk menarik masyarakat 
membelinya adalah di larang sama sekali. Kaedah ini  akan  merosakkan 
jiwa dan akhlak remaja khususnya dan meningkatkan gejala-gejala sosial 
dalam masyarakat. 
Kaedah Fiqh yang berbunyi `Menutup pintu-pintu kerosakkan' haruslah di jadikan panduan.
TIDAK MENGURANGKAN TIMBANGAN
Usahawan muslim harus 
memastikan bahawa setiap timbangan haruslah dilakukan dengan adil dan 
tanpa penipuan. Kita haruslah memberikan pengguna hak mereka sejajar 
dengan harga yang mereka bayar;
	`celakalah bagi orang-orang 
yang suka mengurangi takaran.  Iaitu orang-orang yang kalau menerima 
takaran dari orang lain selalu meminta yang penuh (cukup dan tidak 
kurang sedikitpun), tetapi kalau menakarkan untuk orang lain, pasti 
dikurangi.  Apakah orang-orang itu tidak mengira (menyakini) bahawa 
mereka itu pasti akan dibangkitkan dari kuburnya, yakni pada suatu hari 
yang penuh pancaroba' (surah al-mutaffifin : 1 - 5).
GHARAR(3)
Oleh kerana terlampau 
ghairah untuk mendapatkan keuntungan maka pembeli sering melakukan 
`gharar' iaitu dengan mensifatkan barang yang dijual dengan sifat yang 
berlainan dari yang sebenar.
Allah Telah Berfirman:
	`Wahai orang-orang yang 
beriman, janganlah kamu makan harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan 
yang salah, kecuali dengan perniagaan yang dilakukan suka sama suka 
diantara kamu (surah an-nisa', ayat 26).
2.	Tidak Terlibat Dengan Amalan Riba
Seseorang usahawan muslim 
seharusnya membebaskan diri dari riba dengan segala daya yang mungkin 
samada dalam pembiayaan atau pelaburan. Memang tidak dinafikan perkara 
ini bukanlah mudah dan kita terpaksa membuat pemilihan dari 
sumber-sumber pembiayaan yang ada berdasarkan kriteria tertentu 
termasuklah kos yang akan ditanggung.
Di Malaysia sumber-sumber 
pembiayaan yang bebas dari riba semakin meluas. Usaha perlu dibuat oleh 
usahawan untuk mengenalpasti sumber-sumber ini dan memanfaatkannya 
sebaik yang mungkin.
__________________________
(3) Mansor Mahsin, 'Undang-undang Perdagangan Dalam Islam'
Pembiayaan secara Islam adalah dalam bentuk-bentuk berikut:
1.	Pembiayaan projek
	a.	Mudharabah
	b.	Musyarakah
2.	Pembiayaan memperolehi aset
	a.	Mudharabah
	b.	Musyarakah
	c.	Bai'bithaman ajil
	d.	Ijarah
	e.	Bai' al-ta'jiri   
3.	Pembiayaan perdagangan
4.	Gadaian atau ar-Rahn
5.	Jualan salam
BIMB menyediakan kebanyakkan daripada 
pembiayaan-pembiayaan ini untuk usahawan Islam dan bukan Islam. Riba 
adalah amalan yang dikutuk oleh Allah. Ia di haramkan oleh Allah dalam 
empat peringkat.  Peringkat yang terakhir adalah seperti berikut:
	`Wahai orang-orang yang beriman! Taqwalah kepada 
Allah dan tinggalkan sisa dari riba itu, jikalau benar-benar kamu 
orang-orang yang beriman . Tetapi jika tidak kamu kerjakan begitu, maka 
terimalah satu pernyataan perang dari Allah dan rasulnya. Tetapi jika 
kamu bertaubat, maka bolehlah kamu ambil pokok harta kamu; tidak kamu 
dianiaya dan tidak pula kamu menganiaya'(surah al-baqarah, ayat 278-279)
3.	Tidak Menzalimi Pekerja
Salah satu daripada aspek yang penting dalam 
keusahawanan ialah menguruskan manusia agar mereka mereka dapat 
meningkatkan produktiviti dan kualiti pengeluaran. Untuk mendapatkan 
komitmen dan rasa bertanggungjawaban serta partisipasi daripada pekerja 
kita untuk mrncapai matlamat ini bukanlah satu yang payah. Yang penting 
ialah menjaga hubungan yang baik dengan mereka dan menjaga kebajikan 
mereka.
Sekiranya kita tidak menjaga kebajikan mereka tetapi 
kita memaksa mereka memberikan komitmen terhadap kualiti dan 
produktiviti maka kita menzalimi mereka. Apabila pekerja mereka 
merasakan mereka dizalimi maka kita akan dapati pekerja mereka yang 
berpengalaman akan mulai mencari jalan keluar dan berhenti kerja.
Bagaimanakah cara supaya kita tidak menzalimi pekerja kita?
- Memberikan gaji yang berpatutan sesuai dengan
 produktiviti dan keuntungan syarikat. Ia juga seharusnya sesuai dengan 
kos hidup setempat. Kadar inflasi seharusnya diambil kira dalam membuat 
perubahan yang sesuai terhadap gaji pekerja.
 
- Membuat sesuatu keputusan dengan mengambil 
kira pandangan mereka. Pengurusan partisipasi atau participation 
management adalah pengurusan yang melibatkan keseluruhan pekerja. 
Sesebuah firma atau kilang yang besar seharusnya memikirkan untuk 
mewujudkan qcc(quality control circle) atau kumpulan pengawasan 
kualiti yang melibatkan pandangan semua pekerja. Sebagai seorang pekerja
 yang diberikan sesuatu tugas yang spesifik sudah tentu mereka 
berhadapan dengan masalah dan keperluan yang tersendiri. Seseorang 
usahawan sudah tentu tidak mengetahui setiap perkara yang dilakukan oleh
 pekerjanya walaupun pernah terlibat dalam kerja tersebut kerana 
perubahan-perubahan dan suasana-suasana baru.
 
- Mewujudkan suasana kerja yang stabil, harmoni, teratur, bersih dan selamat.
 
     	Ini amat perlu agar setiap pekerja merasakan 
bahawa mereka adalah sebahagian daripada satu pasukan dan tidak timbul 
perselisihan atau pergaduhan sesama mereka. Ini untuk mengelakkan 
daripada menurunknya semangat dan morale pekerja untuk bekerja.
	keselamatan dalam bekerja adalah amat penting. 
Ciri-ciri keselamatan haruslah diambil kira walaupun ini bermakna kos 
pengeluaran akan meningkat.
- Memberikan latihan dan pendidikan yang sesuai
 dengan usaha untuk membangunkan personaliti yang seimbang ditempat dia 
bekerja dan dirumahnya.
 
4. 	Tidak mengeluarkan produk atau menyediakan perkhidmatan yang haram, rendah kualiti atau bertentangan dengan tujuan syari'at.
	`wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang 
ada dibumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah 
syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang bagi 
kamu'(al-baqarah, ayat 168)
	`wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari 
benda-benda yang baik yang telah kami berikan kepada kamu, dan 
bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat 
kepadanya(al-baqarah, ayat 172)
Sebagaimana yang telah disebut, tujuan syari'at ialah
 untuk memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Segala 
perkara yang boleh memelihara aspek-aspek ini disebut sebagai masa'lih. 
Kalau sebaliknya disebut sebagai mafa'sid dan merosakkan agama, nyawa, 
akal, keturunan dan harta.
5.	Kualiti
Islam sangat menekankan kualiti sebagaimana yang disebut dalam ayat-ayat diatas dan tujuan syari'at.
Dalam ayat yang lain, al-Qur'an sekali lagi 
menegaskan bahawa yang lebih utama dalam hidup seseorang insan ialah 
mengutamakan amalan atau pekerjaan yang lebih berkualiti sebagaimana 
yang tertera dalam surah al-mulk, ayat 2
	`dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan 
hidup, untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah diantara 
kamu yang lebih baik amalnya...'
Produk yang tidak berkualiti boleh menjejas usaha 
membangunkan masyarakat dari sudut mental, moral, dan kesihatan. 
Generasi baru akan menghadapi banyak masalah termasuk anak-anak kita 
nanti.
Kita tidak mahu masyarakat yang berpenyakit dari semua sudut.
Masalah keracunan makanan, penyakit kanser, etc adalah berpunca daripada bahan yang tidak berkualiti.
Tindakan undang-undang akan dihadapkan kepada 
seseorang usahawan sekiranya ini berlaku dan akan merugikan pihak 
usahawan sendiri.
Diharamkan arak dan judi
	`mereka itu bertanya kepada engkau dari hal arak 
dan judi. Katakanlah: pada keduanya itu dosa besar dan beberapa 
manafa'at bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari 
manafa'atnya.'(surah al-baqarah, ayat 219)
	Termasuk yang diharamkan ialah menggunakan 
input-input yang diharamkan seperti diatas dan dibawah ini untuk 
mengeluarkan sesuatu produk yang halal.(al-ma'idah 1, 3)
6.	Pengguna yang Kritikal dan Aktif
Sebagai seorang usahawan kita harus faham bahawa 
masyarakat pengguna kita bukanlah masyarakat yang pasik tetapi kritikal.
 Dengan adanya persatuan-persatuan pengguna yang mempunyai matlamat 
menjaga hak-hak pengguna, kita harus berhati-hati dalam mengeluarkan 
produk kita bagi mengelakkan kita daripada mengalami kerugian kerana 
pengguna enggan membeli produk kita.
7.	Memenuhi Kontrak Yang Dibuat
	Adalah bertentangan dengan 
prinsip Islam sekiranya seseorang usahawan itu membuat sesuatu yang 
dikira sebagai melanggar kontrak yang telah dibuat dengan pihak lain.
	`Sempurnakanlah janji Allah, bila kamu berjanji 
dan janganlah kamu rosakkan sumpah kamu sesudah kukuhnya, padahal kamu 
telah menjadikan Allah jadi jaminan bagimu' (surah an-nahl, ayat 91)
	`hai orang-orang yang beriman, tepatilah segala janjimu'(surah al-ma'idah, ayat 1)
-        Tidak melupakan ibadat-ibadat lain dalam keusahawanan.
 
	walaupun Islam menganggap 
keusahawanan merupakan satu ibadat dalam konteksnya yang luas dan orang 
yang terlibat akan mendapat balasan yang baik sekiranya seseorang 
usahawan itu mempunyai niat yang baik dan membuatnya berdasarkan etika 
Islam namun ini tidak bermakna dia boleh meninggalkan ibadat-ibadat 
khusus yang diwajibkan. Hendaklah kita tunaikan ibadat-ibadat ini bila 
tiba waktunya walaupun kita terpaksa meninggalkan apa sahaja kegiatan 
yang kita sedang lakukan.
    (i)  Sembahyang
	`Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu 
diseru untuk sembahyang pada hari jum'at, maka hendaklah kamu pergi 
kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah berjual beli. Itulah yang 
terlebih baik bagimu, jika kamu mengetahui'(surah al-jumu'ah, ayat 9)
Cari rezeki selepas ditunaikan sembahyang
	`maka apabila telah ditunaikan sembahyang, 
bertebaranlah kamu dimuka bumi dan carilah kurnia Allah dan ingatlah 
akan Allah sebanyak-banyaknya, mudah-mudahan kamu berjaya'(surah 
al-jumu'ah, ayat 10)
    (ii)  Zakat Perniagaan
Adalah menjadi kewajipan bagi seseorang usahawan 
untuk melaksanakan kewajipan zakat perniagaan. Kajian menunjukkan ramai 
yang telah mengabaikan kewajipan ini. ia merangkumi segala bentuk 
perniagaan dan pelaburan yang dihalalkan oleh syari'at Islam, (yang 
bebas daripada riba dan produk serta perkhidmatan yang halal)
	`Dirikanlah sembahyang dan bayarkanlah zakat, dan
 apa-apa yang kamu usahakan diantara kebaikan untuk dirimu(surah 
al-baqarah: ayat 110)
	`Hai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah 
sebahagian rezki yang kami anugerahkan kepadamu, sebelum tiba hari yang 
tak ada jual beli pada hari itu, tak ada persahabatan dan tak ada 
pertolongan'(surah al-baqarah, ayat 254)
- Kontrak Yang Jelas Dan Sah
 
Kontrak yang tidak jelas boleh 
menimbulkan ketidakadilan kepada satu pihak. Ini akan mengakibatkan 
permusuhan diantara pihak yang terlibat. Oleh kerana Islam mahu 
melahirkan masyarakat yang stabil ia menekankan agar sesuatu kontrak itu
 dibuat dengan syarat dan rukun yang jelas.
Sesuatu kontrak itu sah sekiranya ia memenuhi perkara-perkara berikut:
	a.	Sempurna rukun dan syarat
	b.	Tidak mengandungi perkara yang ditegah oleh syarak
Rukun secara umumnya:
	a.	Penjual
	b.	Pembeli
	c.	Barang yang dijual
	d.	Harga
Syarat (contohnya)
- Kedua-dua pihak sempurna akal, cukup umur, pintar. Yang tidak memenuhi syarat ini, bapa atau penjaga boleh menguruskannya.
 
- Orang yang tidak disekat dari menguruskan muamalat termasuk orang yang muflis.
 
- Tidak dipaksa oleh mana-mana pihak.
 
- Jelas isi kandungan kontrak agar tidak menimbulkan keraguan dan pertelingkahan.
 
- Syarat-syarat lain boleh ditambah asalkan tidak bertentangan dengan syarak.
 
10.	Segala Bentuk Perjudiaan di Larang
	segala bentuk keusahawanan haruslah bebas daripada unsur perjudian.
	`hai orang-orang yang beriman, 
sesungguhnya arak, judi berhala dan bertenung, adalah pekerjaan keji 
dari perbuatan syaitan'(surah al-ma'idah, ayat 90)
11.	Harga yang Adil
Peniaga dan usahawan haruslah menetapkan harga
 yang adil dan berpatutan terhadap sesuatu barangan atau perkhidmatan 
untuk pembeli. 
Harga haruslah mencerminkan interaksi normal antara 
permintaan dan penawaran. Ia tidak disebabkan oleh sesuatu yang 
diwujudkan dengan sengaja seperti keadaan monopoli atau beberapa 
pengusaha atau pembeli yang bergabung untuk meningkatkan harga, atau 
disebabkan oleh spekulasi.
Harga yang tidak adil akan menyebabkan golongan yang 
tidak berkemampuan tidak dapat memiliki barangan keperluan mereka. Ia 
juga akan menyebabkan inflasi dan memberikan kesan terhadap daya saingan
 barangan tempatan. 
Menaikkan harga tanpa sebab yang manasabah 
semata-mata mahu menambahkan keuntungan akan memberi kesan negatif 
terhadap jualan barangan jangka panjang.   
Usaha perlu dibuat oleh pengusaha muslim untuk 
membantu kerajaan menstabilkan harga. Ini akan mebantu menarik pelabur 
luar melabur Di Malaysia.
BAGAIMANA MELAKSANAKAN ETIKA PERNIAGAAN?
Masalah sekarang ialah masalah perlaksanaan. Ada tiga cara untuk memastikan perlaksanaan.
- Peniaga atau pengusaha
 
- Pengguna atau pembeli
 
- Peranan kerajaan
 
- Peniaga atau pengusaha harus mempunyai ilmu 
pengetahuan mengenai etika perniagaan Islam dan ini menuntut agar mereka
 sentiasa membaca dan memahami apa yang di gariskan oleh syariat Islam
 
- Mereka harus yakin bahawa mereka akan di 
hadapkan kepada Allah swt di hari akhirat nanti dan akan timbul perasaan
 takut untuk melanggar perintah Allah swt. Oleh itu mereka harus 
melaksanakan dan mengamalkan apa yang di tentukan oleh Islam. Tanpa 
keyakinan ini, kita akan lihat berlakunya  aktiviti-aktiviti perniagaan 
yang bertentangan dengan syariat Islam dan peniaga-peniaga dan pengusaha
 akan mencari kaedah yang terbaik untuk mengelakkan diri daripada 
melaksanakan etika dan prinsip perniagaan Islam terutamanya apabila ia 
melibatkan kos, tenaga dan masa
 
- Pengguna harus memahami etika perniagaan 
Islam dan memastikan agar peniaga dan pengusaha mengamalkannya. Mereka 
harus bertindak secara aktif dalam mempertahankan hak-hak mereka sebagai
 pengguna dan memberikan maklumat kepada agensi-agensi kerajaan dan 
swasta yang terlibat dalam memantau perlaksanaan etika perniagaan 
sekiranya terdapat penyelewengan-penyelewengan.
 
- Peranan kerajaan adalah seperti berikut:
 
-	menyediakan garis panduan yang jelas den lengkap 
mengenai etika perniagaan untuk di edarkan kepada peniaga dan 
pengusaha-pengusaha
-	memastikan bahawa pengusaha dan peniaga memahami garis  panduan tersebut dan melaksanakannya
-	membentuk agensi atau badan untuk memantau 
perlaksanaan garis panduan tersebut dengan adil dan saksama tanpa 
sebarang unsur diskriminasi
-	menyediakan ruang bagi orang ramai untuk menyuarakan bantahan dan memberikan maklumat sekiranya terdapat  penyelewengan.
KESIMPULAN
Diharapkan kegiatan keusahawanan bermula dari niat 
kita,falsafah, matlamat, hubungan dengan pihak 
pekerja,pengeluaran,pembiayaan,perancangan dan pengawalan, pengiklanan 
dan sebagainya adalah berasaskan Islam. Ini sesuai dengan ayat 
al-Qur'an:
	`Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu 
makan harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi 
dan sebagainya) kecualli dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara 
suka sama suka diantara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama
 sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu' (surah an-nisa' 
ayat 29)
	`Wahai orang-orang yang beriman masuklah dalam Islam keseluruhannya'
Sesunggunya kita semua akhirnya akan 
bertanggungjawab depan Allah SWT di hari Akhirat nant dan akan menerima 
balasan yang setimpal dengan amal perbuatan kita di dunia ini. 
`Maha Suci Allah yang di tanganNya lah segala 
kerajaan dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Yang menjadikan mati 
dan hidup supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik 
amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun' (Surah Al Mulk, 1-2)
WALLAHUA' LAM.