Sunday 9 June 2013

SENIWATI LATIFAH OMAR MENINGGAL DUNIA

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Seniwati Latifah Omar, 74, meninggal dunia
di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) petang Ahad kerana
sakit usus.
Menurut anak sulungnya, Afendi Rahmat, 55, Allahyarham sebelum ini menjalani
rawatan di sebuah pusat perubatan di Kampung Baru sebelum dibawa ke PPUKM untuk
menjalani pembedahan kerana sakit ususnya itu.
"Doktor maklumkan bahawa usus arwah membengkak dan tersumbat dan perlu
dibedah untuk menjadikan keadaannya stabil.
"Pembedahan yang dilakukan semalam cuba menstabilkan ibu tetapi tidak
berjaya, dan Allahyarham meninggal dunia pada 6.19 petang," katanya ketika
ditemui Bernama di Masjid Al-Khairiah AU3 malam ini.
Menurutnya, antara pesanan terakhir arwah ialah supaya jenazahnya dibawa ke
masjid itu untuk disempurnakan. Jenazah dijangka dikebumikan Tanah Perkuburan
Islam AU4 pada 11 pagi esok.
-- LAGI
LATIFAH-MENINGGAL 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Allahyarham Latifah, yang meninggalkan empat anak dan lapan cucu, ketika
sakit sering dikunjungi rakan seperjuangan yang tidak putus-putus memberi doa
dan sokongan, kata Afendi.
Sementara itu, sepupu arwah, Zalimah Nordin, 64, berkata Latifah pernah
berpesan supaya saudara terdekat yang tinggal di kawasan AU3 menjaganya ketika
tenat.
Latifah, legenda filem Melayu yang sepanjang kariernya sering digandingkan
dengan seniman Nordin Ahmad, meninggal dunia tidak sampai seminggu selepas rakan
seangkatannya Allahyarham S.Shamsuddin meninggal dunia di Singapura akibat sakit
tua dan paru-paru berair.
Arwah membintangi filem klasik yang diminati ramai seperti Panggilan Pulau,
Bawang Putih Bawang Merah, Laila Majnun, Putus Sudah Kasih Sayang, Gurindam
Jiwa, Hang Jebat dan Hati Batu.
Selain Nordin, Latifah diberi peluang berlakon di sisi pelakon hebat pada
masa itu antaranya Tan Sri P.Ramlee, Normadiah, Yusof Latif, Saleh Kamil, S.
Shamsudin, Siti Tanjung Perak, Omar Rojik, S.Kadarisman dan Ibrahim Pendek.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment